Khamis, 30 April 2009

SAKIT

Sakit…
Bisa mengerti apa yang dirasa
Membakar nafsu selera
Mengajar manusia menerima
ketentuan-Nya..

Kau penuh hikmah terselit
ujian pada yang redha
kebinasaan pada yang zalim

Kau punya hati nurani
memberi petunjuk pada
yang bertawakal dan bersyukur
memberi jiwa manusia menginsafi
menuju masa yang kan tiba

Dikau punya mata
sebagai mata yang merenung
hamba-Nya bertarung di medan
dosa pahala lautan hidup
bekal menuju taman yang terbakar
atau menuju taman bidadari semerbak kasturi.

Sabtu, 25 April 2009

Mutiara Kata

"Panas api dunia tidak sehebat panas api di neraka-Nya"

Permata Yang Dicari (DeHEARTY)

Hadirnya tanpa kusedari
Menggamit kasih cinta bersemi
Hadir cinta insan padaku ini
Anugerah kurniaan Ilahi

Lembut tutur bicaranya
Menarik hatiku untuk mendekatinya
Kesopanannya memikat di hati
Mendamaikan jiwaku yang resah ini

Ya Allah
Jika dia benar untukku
Dekatkanlah hatinya dengan hatiku
Jika dia bukan milikku
Damaikanlah hatiku
Dengan ketentuan-Mu

Dialah permata yang dicari
Selama ini baru kutemui
Tapi ku tak pasti rencana Ilahi
Apakah dia kan kumiliki
Tidak sekali dinodai nafsu
Akan kubatasi dengan syariat-Mu
Jika dirinya bukan untukku
Redha hatiku dengan ketentuan-Mu

Ya Allah
Engkaulah tempat kubergantung harapanku
Kuharap diriku sentiasa di bawah rahmat-Mu

Pujangga

"Ilmu ada di mana-mana!, tidak semestinya di bilik kuliah kerana ilmu itu boleh diperolehi di mana-mana dan dalam pelbagai bentuk lagi ilmu yang boleh diterokai oleh manusia"
-Dr. Talib Samat.

Pujangga

"Hari semalam adalah sejarah, hari ini adalah pelayaran di rimba hidup, hari esok liku-liku
pelayaran hidup mendatang dan bakal hari-hari yang mendatang adalah kejayaan untuk masa hadapan yang lebih baik di dunia akhirat Insya-Allah"

Pujangga

"Lihatlah ke langit dan awan yang bertebaran memutih dan katakan kepada diri bahawa kepahitan serta keperitan semalam cukup indah untuk ditelan umpama semanis madu"

Pujangga

“Jangan sesekali menerima yang negatif
Sehinggalah sudah diteroka yang positif dengan sepenuhnya”

Jumaat, 24 April 2009

Bukan Kerana Nama (Ramli Sarip)

Jangan kau pandang bibir yang manis
Kerana dia bisa menghancurkan
Jangan kau pandang wajah yang indah
Kerana dia bisa meracunmu

(korus)
Dengarlah hai teman
Dengarkan bersama
Aku menulis bukan kerna nama
Kerna sifat kasih
Pada sesama insan dan menyatakan kasih sayangmu
Kita sama semuanya sama
Apa yang ada hanyalah kehidupan

Jangan kau dengar puisi dusta
Kerana dia bisa merosakkan jiwamu
Dengarkanlah puisi di pusaka
Yang telah turun temurun hari ini

Jangan kau alas hatimu itu
Dengan secebis warna kehitaman
Dialah seperti anai-anai
Lambat laun hancurlah dirimu

Angin Petang

Angin petang sungguh kencang berlari
Terasa segar diriku bila disapanya
Makin segar mata memandang kejauhan
Kesempurnaan cipta-Nya banjaran Titiwangsa
Yang menghijau dan tak kurang juga kering kemerahan
Kesan pembalakan dan penerokaan banjaran itu

Angin petang tak jemu memberi khidmatnya
Umpama air sungai yang terus mengalir
Diri merasa bahagia bila kau membelaiku
Seperti kasih ibu membelai anaknya
Ketika aku sedang merenung sedalamnya
Di balkoni rumah harapan perjuanganku
Yang entah bila akan tamat
Selagi mana roh diri ini masih punya masa
Untuk menyelusuri sungai hidup ini.

Angin petang yang tak dijangka
Kerana ianya boleh bertukar wajah
Menjadi pemusnah alam jagat
Jikanya mengamuk
Maka habislah isi alam jagat ini

Angin petang membuai-buai rasaku
Agar menginsafi diri ini
Yang selalunya lalai
Yang selalunya mengejar dunia
Tidak sepertimu yang sentiasa berzikir kepada-Nya
Tanpa bosan sambil memberikan nikmat yang indah
Dengan setia sehingga ke penghujung masa dunia.

Rabu, 22 April 2009

Biarku Menjadi Lilin (Pelangi)

Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Terangi sekeliling dengan diri terbakar
Tak siapa yang sedar
Disaat kegelapan rela aku berkorban
Demi satu harapan
Biar masa berlari
Dan kau terus mendaki
Aku tenang disini dengan sabar menanti
Tanpa dendam dan benci
Andainya kau terjatuh terluka dan tersungkur
Kurawat biar sembuh
Aku tak kan bertanya
Apakah nanti balasannya
Setiap pengorbanan setiap pemberian
Demi satu ikatan
Keikhlasan dihati
Walaupun kau ragui
Pada suatu masa dan suatu ketika
Akan ketara jua
Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Saat kau kesepian saat kau kegelapan
Kurela menerangkan
Aku senang begini dapat terus berbakti
Dengan cara sendiri

Pesan Terakhir (Sajak oleh Syed Qutb)


Sahabat…
Andainya kematian kau tangisi
Pusara kau siram dengan air matamu
Maka diatas tulang belulangku yang dah luluh
Nyalakaniah obor untuk umat ini
Dan
Lanjutkanlah gerak merebut kemenangan
Sahabat,
Kematianku hanyalah suatu perjalanan
Memenuhi panggilan kekasih yang merindu
Taman-taman indah disyurga Tuhan
Terhampar menanti
Burung-burungnya berpesta menyambutku
Dan berbahagialah hidupku di sana
Sahabat,
Puaka kegelapan pastikan lebur
Fajarkan menyingsing
Dan alam ini kan disinari cahaya lagi
Relakan lah rohku terbang menjelang rindunya
Jangan gentar berkelana ke alam abadi
Di sana cahaya fajar memancar.
Sayyid Qutub-1966

Menaruh Harapan (Zaiton Sameon)

Sepanjang perjalanan ini
Lembah dan lurah ku lewati
Ketenangan yang ku cari
Belum ku temui

Ku menghimpun doa bertahun
Mencari pepohon yang rimbun
Bertemu dahan yang rapuh
Tempat ku berteduh

( korus )
Dulu aku sendiri
Kini masih sendiri
Hadapi hidup ini
Susah senang diri ku
Tak bertempat mengadu
Seperti burung kepatahan sayap...
Dihati kecil ku menaruh harapan...

Selagi hidup belum sudah
Aku akan terus melangkah
Ku yakin rahmat buat ku
Di hadapan menunggu...

Perkahwinan

"Perkahwinan bukanlah penghujung cinta pasangan tersebut tetapi adalah permulaan sebuah pergembaraan cinta yang suci"

Selasa, 21 April 2009

Sang Ribut Semalam

Ribut pagi semalam
Bisa mengejutkanku
Dikala aku sedang menelaah pelajaran
Betapa agung kuasa-Nya

Ribut pagi semalam
Dikawani oleh hujan dan petir
Membuatkanku kecut dikalbuku
Apakah hari akhir dunia seperti itu
Atau lebih ngeri dari itu

Ribut pagi semalam
Cukup indah dan estetika
Desir angin yang membadai
Menghasilkan irama yang mengasikkan
Memang hebat dan hikmah kejadian-Nya
Walaupun hanya sebuah desir ribut.

Apakah makna irama desir ribut itu
Petanda alam semakin tua kah
Apakah ianya hadiah
Atau musibah buat hamba-Nya
Segala hanya dia mengetahui-Nya
Kita hanya hamba kerdil untuk menafsirkan.

Jiwa Si Kecil

Tanggal 9 Januari 2008
Kau menghilang entah ke mana
Angkara manusia bernafsu binatang
Angkara manusia menjadikan nafsu rajanya
Nasibmu tak tentu
Entahkan hidup, entahkan tidak
Entahkan makan, entahkan tidak
Dan apa jua nasibmu sekarang
Menjadi persoalan dibenak arus minda.

Sejak kau menghilang tangisan derita
Terus mewarnai keluargamu
Wajahmu sentiasa ada di mana-mana
Dulu dan kini selamanya
Walaupun dirimu semakin sunyi
Dari media malaysia
Wajahmu tetap terpahat di hati
Bagi insan yang menyayangimu
Seorang kanak-kanak yang tak berdaya.

Masa terus menelan ceritamu
Apakah ada lagi sinar harapan
Untukmu melihat bintang dan bulan
Di dada langit atau
Hanya tinggal harapan kosong
Seperti mana nasib jiwa kecil lain
Yang menerima nasib hitam
Akibat sifat manusia rakus.

Adakah akan ada lagi jiwa kecil
Sepertimu jadi makanan
Syaitan memakai wajah masyarakat
Semoga tak akan ada lagi
Yang meratapi sebuah kehilangan
Yang menyulami rasa rindu kehilangan.

Semoga kau selamat
Itulah harapan kami semua
Hanya-Nya yang menjadi pelindung kau
Bukannya si baju biru
Kerana mereka juga tak terdaya
Merungkai arus hidup yang menelanmu
Semoga kau kembali pada masyarakat
Yang menyayangimu termasuk ibu bapamu
Dan selagi itu kami tetap menunggu kepulanganmu
Sambil terus merafak doa kepada-Nya
Hanya-Nya tahu segala-gala
Semoga takdir-Nya masih menyebelahimu.



Secebis Ungkapan

Sebelum hati terlena ratuku
Ingatlah kepada Tuhanmu
Lupakan hari ini
Lupakan keperitanmu
Peganglah pengalamanmu
Untuk hari esok nanti

Renung-renunglah hati
Agar dirimu bahagia
Harum mekar sepanjang zaman

Dikala hati terbuka
Menempuh embun yang dingin
Sujudlah mu kepadaNya
Kerna jalan-Nya penuh liku

Sabar-sabarlah ratuku
Tetapkan hatimu
Masih ada tetap harapan bersinar
Selamanya jika kita pada-Nya…..

Isnin, 20 April 2009

Kemelut Politik Kini

Selepas pilihan raya ke 12 suasana politik negara bertambah panas dan bercelaru. Pelbagai isu yang di momokkan oleh kerajaan dan pihak pembangkang. Tuduh menuduh dan fitnah menfitnah telah mewarnai landskap politik negara. pelbagai isu politik yang memanaskan dunia malaysia antaranya seperti perubahan menteri besar perak akibat daripada tindakan adun PKR melompat parti, isu liwat Dato' Seri Anwar Ibrahim, Isu pilihan raya kecil, kaitan Perdana Menteri sekarang dengan isu kes Altantuya yang kena tuduh telah dijatuhi hukuman mati. Namun proses pembicaraan tersebut gagal menemui motif mengapa kedua tertuduh anggota UTK PDRM iaitu Cif Insp Azilah dan Koperal Sirul Azhar membunuh model mongolia; saya tertanya-tanya pada diri saya sendiri mengenai perkara tersebut dan mungkin anda semua juga tertanya di lurah fikiran sendiri. Banyak perkara lagi yang dikaitkan dengan PM kita sekarang termasuk komisen pembelian kapal selam dan pelbagai isu yang bisa memanaskan lagi rumah politik Malaysia.

Teringat saya sesuatu tamadun yang mencapai tahap kegemilangannya bisa runtuh oleh kerendahan moral pemimpin dan rakyat negara tersebut. Sebagai contoh kita dapat melihat runtuhnya empayar Islam di Andalusia (Sepanyol) yang terkenal dengan Istana Alhambra akibat kelalaian pemimpin dan rakyatnya. Di Malaysia kita dapat melihat karya novel Prof Shahnon Ahmad iaitu novel Sutan Baginda yang mengungkapkan tema dan persolan tentang nafsu seorang pemimpin yang ingin mencapai puncak kuasa walaupun terpaksa melanggar budaya timur dan agama kita sehinggakan watak tersebut akhirnya menjadi gila akibat balasan Allah s.w.t turunkan di atas muka dunia lagi. Sekarang terpulang kepada rakyat Malaysia untuk menilai sendiri kemelut yang melanda kini tidak kira sesiapa golongan rakyat yang terpelajar mahupun tidak kerana anda semua mempunyai akal fikiran yang rasional jika masih berpegang kepada agama. Bak kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz semasa majlis pelancaran buku Bidadari Dari Timur di Pesta Buku Antarabangsa pada 19/04/09 mengatakan "ISA dan perlembagaan negara itu undang-undang yang karut semua dan asas yang sebenarnya adalah Islam" kerana ianya bertentangan dengan agama kita semua!!.Maafkan saya jika kata-kata Tuan Guru itu tidak tepat dan apa dicatatkan itu seperti mana halwa telingga saya mendengarinya pada majlis tersebut.

Buku Ini


Buku kau punya nama
Buku kau punya pelukis
Buku kau punya tahun
Buku kau punya nilai
Buku kau punya peminat

Kau seperti pelita
Kau bakal menerangi dunia
Kau pelukis hitam putih
Kau pewaris intelektual
Mencorak pelita dunia pemikiran

Buku kau ialah harapan
Buku kau adalah impian
Buku kau ialah cita-cita
Buku kau adalah teman

Kau bersilih ganti menjelma
Pelbagai variasi dan harapan
Kau di toko
Ada di gerai dan di mana-mana
Kau sumber inspirasi
Panduan nafsu dan hati
Untuk kepuasan peminat serta pembaca.

Ilmu itu lebih baik daripada harta

Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum (hakim) dan harta terhukum. Harta itu kurang apabila dibelanjakan tapi ilmu bertambah bila dibelanjakan –Saidina Ali bin Abi Talib- KeTika satu pintu kebahagiaan tertutup, pintu yang lain dibuka. Tetapi seringkali kita terpaku lama pada pintu tertutup sehingga tidak melihat pintu lain yang dibukakan untuk kita. Setitik dakwat mampu membuat sejuta manusia berfikir tentangnya. Waktu kamu lahir, kamu menangis dan orang-orang disekelilingmu tersenyum. Jalanilah hidupmu sehingga pada waktu kamu meninggal, kamu tersenyum dan orang-orang disekelilingmu menangis.

Chavez dianggap wira di Palestin

Berani usir keluar duta Israel dari Caracas BAITULAHAM: Presiden Venezuela, Hugo Chavez kini dianggap wira oleh rakyat Palestin dan penyokong mereka kerana keberaniannya mengusir keluar duta Israel dari Caracas pada 6 Januari lalu. Hanya Venezuela saja negara yang melakukannya selain Mauritania yang mengambil tindakan berkenaan. Hamas, pergerakan Islam yang menguasai Gaza, mengalu-alukan 'keputusan berani Chavez', sementara Hassan Nasrallah, ketua Hizbullah di Lubnan, menggesa negara Arab supaya mencontohi tindakan Presiden Venezuela itu. Bendera Venezuela dan potret Presiden Hugo Chavez kini kelihatan berkibaran dalam bantahan terhadap Israel di Tebing Barat berikutan serangan negara Yahudi itu ke atas Semenanjung Gaza. Sabtu lalu, Chavez menuduh Israel sebagai 'tangan pembunuh' Amerika Syarikat dan berkata, penyelesaian kepada krisis di Gaza itu terletak pada tangan Barack Obama apabila beliau mengambil alih sebagai Presiden AS minggu ketiga bulan ini. Mohammed al-Lahham, ahli Parlimen daripada parti Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas, berkata Chavez adalah 'simbol perjuangan kebebasan dan ini membezakannya daripada presiden lain di dunia'. Penentangannya terhadap Washington, sekutu setia Israel, berhubung serangan ke atas Iraq dan Lubnan pada 2006 menjadikan Chavez simbol bagi rakyat 'yang berjuang menentang pendudukan'.Selain Tebing Barat, bendera Venezuela dan potret Chavez juga dikibarkan oleh penunjuk perasaan di Ramallah dan Hebron dalam perhimpunan yang diadakan minggu lalu. Stesen televisyen Al-Jazeera menemu ramah Menteri Luar Venezuela, Nicolas Maduro yang membidas 'penjenayah yang mentadbir Israel' dan mereka yang 'melakukan pemusnahan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin selama 60 tahun'. "Saya ingin memberi Chavez pasport Palestin agar beliau boleh menjadi warga Palestin. Kemudian kami akan memilihnya untuk menjadi presiden kami," kata Datuk Bandar Al-Masar, Mahmud Zwahreh Mohammed Brijeh, yang mengetuai kumpulan bertindak di Baitulaham terhadap tembok keselamatan di antara Israel dan Tebing Barat berkata: "Respons Chavez bernilai lebih besar daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)." "PBB hanya melakukan apa yang Israel mahu", dakwanya. "Alangkah baiknya jika kami mempunyai pemimpin sekuat Hugo Chavez," kata Brijeh. Kata Zwahreh: "Kami tidak mempunyai pemimpin yang ada strategi dan misi jelas". Abbas dan pergerakan Fatahnya yang sederhana menjadi lemah berikutan pergeseran dengan Hamas dan sifat terlalu mengagungkan bekas pemimpinnya, Yasser Arafat, yang potretnya masih menghiasi kebanyakan bangunan dan rumah. Iyad, seorang peniaga kedai berkata "Chavez adalah presiden terbaik. Beliau selalu menyokong Palestin." "Beliau adalah lebih baik daripada pemimpin Arab. Jordan dan Mesir sepatutnya turut mengusir duta Israel. Adalah memalukan kerana kita tidak mempunyai pemimpin sepertinya," kata Assem, seorang lagi peniaga. – AFP (Berita Harian Online)

Radiasi telefon punca sukar tidur

Turut jadi sebab kemurungan, jejas pelajaran remajaLONDON:
Kesan radiasi daripada telefon bimbit dikenal pasti sebagai punca masalah pemilik alat komunikasi itu untuk tidur nyenyak selain menyebabkan sakit kepala serta kekeliruan di kalangan remaja dan kanak-kanak yang menggunakannya. Penyelidikan yang disiarkan akhbar The Independent menunjukkan penggunaan telefon bimbit sebelum tidur menyebabkan orang ramai mengambil masa lebih panjang untuk tidur dan kurang mendapat tidur selesa, sekali gus menjejaskan kemampuan tubuh memperbaiki kerosakan yang dialami pada siang hari. Hasil kajian paling membimbangkan bagi kanak-kanak dan remaja, yang kebanyakannya menggunakan telefon pada lewat malam dan memerlukan tidur mencukupi, kata tinjauan itu. Kegagalan mendapatkan tidur mencukupi boleh membawa kepada perubahan 'mood' dan personaliti, kemurungan, kurang tumpuan dan persembahan akademik teruk. Kajian yang dijalankan saintis dari Institut Karolinska dan Universiti Uppsala di Sweden dan dari Universiti Wayne State di Michigan, Amerika Syarikat dilaporkan yang paling menyeluruh. Keputusan tinjauan itu diterbitkan oleh Simposium Penyelidikan Kemajuan dalam Elektromagnetik Institut Teknologi Massachusetts dan dibiaya oleh Mobile Manufacturers Forum, mewakili syarikat telefon bimbit utama. Keputusan kajian menimbulkan kebimbangan serius di kalangan pakar tidur, dengan salah seorang daripadanya berkata kini 'terdapat lebih daripada bukti kukuh' untuk menunjukkan radiasi 'menjejaskan seseorang daripada tidur lena.' Saintis mengkaji 35 lelaki dan 36 wanita berusia antara 18 dan 45 tahun. Sebahagiannya didedahkan dengan radiasi yang benar-benar menyerupai apa diterima ketika menggunakan telefon bimbit manakala yang lainnya ditempatkan dalam keadaan sama tetapi diberikan pendedahan 'palsu' iaitu tidak kena radiasi langsung. Sukarelawan yang menerima radiasi mengambil masa lebih lama memasuki tahap tidur lena pertama dan memperuntukkan masa kurang dalam tidur paling nyenyak. Saintis merumuskan: "Kajian menunjukkan ketika pendedahan kepada frekuensi 884 'megahertz' membolehkan isyarat tidur disalurkan dan dipercayai penting untuk pulih dari kerosakan pada siang hari, terjejas." Bagaimanapun, Mobile Manufacturers Forum yang malu dengan hasil kajian meremehkan perkara itu dan menegaskan - berikutan pelbagai rumusan yang disiarkan - 'hasilnya tidak meyakinkan' dan 'penyelidik tidak mendakwa pendedahan menyebabkan tidur terganggu.' Namun, Profesor Bengt Arnetz, yang mengetuai kajian berkata: "Kami memang menemui kesan dari telefon bimbit dari senario pendedahan yang realistik. Kajian menunjukkan ia memberi kesan ke atas otak." – Agensi

Ahad, 19 April 2009

Musafir Lalu

Aku disini musafir lalu
Mencari arah kehidupan tak tentu
Aku disini berjuang di lautan haru biru
Menempuh gelombang lautan masa

Pada-Mu aku mengadu
Menjadi payung peneduh hati
Menjadi penawar racun hati
Menjadi penerang gelap hati

Sampai di mana harus musafir ini
Sampai bila harus begini
Menjadi hipokrit
Mementaskan ranjang drama ini
Yang entah ke mana
Untuk menjadi bekal bertemu-Nya

Siapakah Yang Bersalah???

Terkejut lihat kaki bayi terjulur
Oleh HADZLIHADY HASSAN
KUALA LUMPUR: Pengunjung yang menunggu bas berhampiran pusat membeli-belah Sogo gempar seketika apabila seorang pengutip barangan lusuh menemui bungkusan mengandungi mayat bayi lelaki, petang semalam.Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, pengutip barangan lusuh warga negara Bangladesh itu dikatakan menemui bungkusan terbabit sebelum mengambilnya untuk melihat kandungannya.Ketika mengangkat bungkusan, dia yang tidak mengesyaki perkara buruk tergamam apabila ternampak kaki bayi terjulur keluar.Lelaki itu kemudian memanggil beberapa pengunjung yang menunggu bas sebelum keadaan menjadi gempar apabila orang ramai mula mengerumuni kawasan terbabit. Seorang daripada mereka kemudian menghubungi polis. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah, ketika dihubungi berkata, hasil siasatan mendapati mayat bayi itu dipercayai baru sehari dilahir berdasarkan keadaan tali pusatnya masih merah.
“Bagaimanapun, setakat ini bangsanya belum dapat dipastikan dan polis akan menjalankan siasatan bagi mengesan siapa melakukan perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan itu,” katanya.Menurutnya, mayat bayi terbabit dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Ahad 30 mac 2008/metro

Sabtu, 18 April 2009

SEPI


sepi……
membunuh jiwaku
meracun fikiranku
menghimpit dayaku
mengikat tanganku
melumpuh kakiku

sepi…..
tamsilan racun berbisa
adakala penawar mujarab
kehilangan baru dirasai
yang membuatkan jiwaku
merana gundah gulana

sepi…..
mengajarku berfikir
mengajarku hidup
mengajarku berdiri
mengajarku seadanya
menerima tersurat dan tersiratNya

sepi……
terima kasih
banyak memberiku
pengalaman perjuangan
diperjalanan lautan badai gelora kebinasaan
bagi mereka yang tiada Iman.

Pembuka Bicara

Salam sejahtera dan salam kebenaran untuk semua pengunjung blog saya yang kerdil ini. Tujuan saya menulis blog ini adalah untuk berkongsi mengenai apa sahaja yang akan diutarakan nanti. Segala yang baik itu datang dari-Nya dan segala kelemahan itu adalah daripada saya. Wassalam!!